IPOH – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM100,000 bagi mendapatkan projek melombong pasir sekitar negeri Perak empat tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Munif Ali, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan sebanyak RM10,000 daripada Rashid Mat Desa, 47, sebagai dorongan untuk dirinya kononnya untuk dibayar kepada Suzana Md. Nor iaitu Pembantu Khas kepada Pegawai Kewangan Negeri.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh bagi membantu mendapatkan kelulusan permohonan projek melombong pasir tersebut pada pukul 10.30 pagi 2 Februari 2015.
Tertuduh turut didakwa menerima suapan sebanyak RM10,000 sebagai dorongan kononnya untuk diberikan kepada pegawai kerajaan negeri Perak bagi mendapatkan dokumen sulit kerajaan serta membantu mendapatkan projek melombong pasir sekitar negeri Perak.
Selain itu, tertuduh juga didakwa meminta wang tunai sebanyak RM80,000 daripada Nor Azman Hashim, 47, sebagai dorongan kononnya untuk diberikan kepada pegawai kerajaan negeri Perak bagi mendapatkan kelulusan permohonan projek melombong pasir sekitar negeri Perak yang dipohon oleh Rashid dan Nor Azman.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di sebuah restoran di sini pada pukul 6 petang 4 Februari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan tiga kesalahan tersebut mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdihana Rosdi manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.
Nurdihana mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah.
Mohamad Salihen bagaimanapun memohon jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak memiliki pekerjaan tetap selain mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah selain menjaga ibu berusia 84 tahun.
Indra Nehru kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport miliknya turut diperintahkan untuk diserahkan kepada SPRM.
Mahkamah menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE











