KUALA LUMPUR 1 Ogos – Bursa Malaysia berubah kepada positif pada tengah hari, dengan indeks utama mengatasi kerugian awal, dan pada masa sama dipacu sokongan belian di kaunter berkaitan indeks diterajui Press Metal.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.68 mata kepada 1,635.55 selepas turun naik antara 1,627.95 dan 1,636.3 sepanjang sesi dagangan pagi.
Press Metal, yang baru-baru ini memperoleh kontrak pembekalan elektrik jangka panjang daripada Sarawak Energy Bhd, mengukuhkan indeks komposit dengan 2.12 mata.
Sahamnya naik 30 sen kepada RM4.84 dengan 10.61 juta saham bertukar tangan.
Prestasi bursa tempatan selari dengan aliran bursa serantau, terkesan oleh sentimen lemah disebabkan unjuran kurang memberangsangkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bagi pusingan selanjutnya pengurangan kadar faedah, ditambah dengan keadaan belum pasti dalam perbincangan perdagangan AS-China.
Fed, semalam, mengurangkan kadar dasar utamanya sebanyak 25 mata asas – pertama kali dalam 11 tahun – tetapi mengelak daripada mencadangkan pengurangan kadar lebih lanjut akan dilakukan.
Di Bursa, kedudukan pasaran secara keseluruhannya kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 426 berbanding 273, manakala 378 kaunter tidak berubah, 812 tidak diniagakan dan 28 lagi digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.28 bilion saham bernilai RM823.82 juta. – BERNAMA











