KUANTAN 1 Ogos – Seorang pengutip hutang dikenakan hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mengganggu seorang guru di luar kawasan sebuah sekolah di sini pada 19 Julai lalu.
Tertuduh, Neo Soon Hwai, 59, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku salah atas perbuatan berkenaan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah.
Nurunaim turut mengarahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda itu.
Mengikut kertas pertuduhan, Soon Hwai yang juga seorang penghantar surat khabar didakwa menggangu Zaimah Ahmad, 39, iaitu seorang peminjam wang dengan membuat panggilan telefon dan menampal gambar peminjam di bahagian tiang hentian bas dan pondok telefon.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 Julai lalu, pukul 5.45 petang di luar kawasan sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Wira, Jalan Panching, Kuantan.
Soon Hwai didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29B(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syafiqa Syeba Atan. – UTUSAN ONLINE











