KUALA LUMPUR 1 Ogos – Sebuah kedai menjual peralatan lampu elektrik di Jalan Pelita Utama, Pusat Komersial Pelita, Miri, Sarawak nyaris musnah selepas terbakar dalam kejadian malam kelmarin.
Memetik laporan portal Utusan Borneo, kebakaran yang dipercayai berpunca daripada peralatan elektrik itu dianggarkan telah memusnahkan kira-kira 40 peratus ruang bawah premis terbabit.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran itu kira-kira pukul 7.05 malam.
“Setibanya bomba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan kedai menjual peralatan lampu elektrik dan kebakaran adalah dipercayai berpunca daripada peralatan elektrik.
“Anggaran keluasan kedai ialah 20 kaki kali 40 kaki dan anggaran kemusnahan ialah 40 peratus serta tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – UTUSAN ONLINE











