Tiga remaja dituduh rogol gadis bawah umur - Utusan Malaysia

Tiga remaja dituduh rogol gadis bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 13 tahun antara Mac hingga April lalu.

Ketiga-tiga tertuduh yang berusia 15 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor.

Tertuduh pertama didakwa dengan empat pertuduhan manakala tertuduh kedua dan ketiga masing-masing satu dan dua pertuduhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi termasuk rumah dan kebun getah di Pendang dekat sini antara Mac hingga April lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,500 bagi tertuduh pertama manakala tertuduh kedua dan ketiga sebanyak RM5,000 dan RM6,000.

Mereka yang hadir ditemani ahli keluarga masing-masing membayar jaminan tersebut.

Mahkamah pada masa sama memerintahkan mereka agar tidak mengganggu mangsa selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Tarikh sebutan kes bagi serahan laporan perubatan ditetapkan pada 16 Oktober depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Dalilah Khalid sementara tertuduh pertama diwakili peguam, M. Puveneswaran manakala dua lagi tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini