KLANG – Memo berkaitan larangan solat bagi pekerja Islam pada waktu bekerja yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat kilang plastik di Taman Perindustrian Sungai Kapar di sini adalah benar.
Perkara itu diakui oleh seorang pekerja kilang yang enggan dikenali menyatakan memo itu dikeluarkan pada 30 Julai lalu susulan dakwaan tindakan segelintir pekerja yang mencuri tulang dengan alasan mahu bersolat.
Kata pekerja itu, isu berkenaan bagaimanapun telah diselesaikan selepas seorang wakil pekerja beragama Islam berjumpa pihak pengurusan syarikat.
“Perkara ini bukan isu besar kerana selama ini kami boleh solat cuma ada pekerja yang curi tulang dengan alasan pergi solat.
“Sebelum ini, waktu rehat kami dari pukul 12 hingga 1 tengah hari sebelum diubah kepada pukul 1 hingga 2 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, isu terbabit dianggap salah faham berikutan pengurus syarikat itu bukan beragama Islam dan tidak mengetahui waktu solat sebelum ini.
Ketika ditanya sama ada pihak syarikat telah membuat laporan polis berhubung isu itu, pekerja itu difahamkan laporan telah dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh menegaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kes tersebut sehingga pukul 12.30 tengah hari tadi.
Dalam pada itu, jurucakap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan selepas semakan dilakukan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Kosmo! Online terdahulu melaporkan penularan memo yang didakwa dikeluarkan sebuah syarikat plastik melarang pekerja Islam menunaikan solat ketika waktu bekerja.
Menerusi memo tersebut, denda sebanyak RM500 akan dikenakan kepada pekerja bagi setiap satu kesalahan. – K! ONLINE











