LONDON – Liverpool perlu bekerja keras untuk menundukkan Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti yang akan berlangsung Ahad ini walaupun berdepan aksi pra musim yang mengecewakan.
Juara Eropah kendalian Jurgen Klopp itu ketinggalan menerusi jaringan penalti Memphis Depay di Geneva sebelum Roberto Firmino dan Harry Wilson bangkit meletakkan The Reds dalam keadaan selesa dan jaringan sendiri Joachim Anderson memastikan kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Lyon.
Keputusan itu hadir selepas Liverpool tewas 0-3 kepada Napoli di Murrayfield, hujung minggu lalu.
“Secara keseluruhan, aksi kami lebih baik. Sekarang kami ada tiga hari untuk bersedia berdepan City.
“Sudah pasti saya gembira tetapi saya tahu, kami perlu bermain lebih baik untuk menewaskan City.
“City adalah perlawanan berbeza sama sekali. Awak perlu ada aksi pra musim berdepan City sebagai persediaan untuk bertemu mereka tetapi kami tidak lakukannya.
“Kami perlu segerakan sesuaikan diri. Hari ini dari segi fizikal dan mental, keadaan sangat baik.
“Kita semua adalah manusia dan tewas dalam bola sepak adalah sesuatu yang luar daripada kelaziman kami, saya gembira kerana kami boleh mengubah perkara ini,” kata Klopp.-AGENSI











