MUNICH – Zinedine Zidane berharap Gareth Bale akan kembali menyertai sesi latihan bersama pasukan selepas dia dilihat bermain golf semasa Real Madrid beraksi di Piala Audi.
Laporan media Sepanyol mendakwa, Bale dilihat bermain gol semasa Madrid tewas kepada bekas kelab pemain sayap itu, Tottenham dengan bintang Wales itu diketepikan kerana masalah kesihatan.
Bale yang pada mulanya dijangka menyertai pasukan Jiangsu Suning namun perpindahan itu gagal direalisasikan.
Madrid bangkit daripada kekalahan 0-1 kepada Spurs dengan menundukkan Fenerbache 5-3 tetapi Bale kekal menjadi topik utama selepas perlawanan itu berakhir.
“Saya tidak tahu apa yang Bale lakukan. Saya di sini bersama pemain lain.
“Saya tidak boleh beri ulasan mengenai perkara itu tetapi saya harap dia akan menyertai latihan di Madrid. Kami memikirkan tentang pasukan.
“Kami akan lihat semula selepas kami kembali. Saya tidak akan halang sesiapa untuk lakukan apa sahaja kerana semua ada tanggungjawab. Saya tidak mahu campur urusan peribadinya. Dia di sana untuk berlatih dan saya fikir dia sudah lakukannya,” kata Zidane.
Perpindahan Liga Super China sudah ditutup, sekali gus menafikan peluang Bale untuk meninggalkan Madrid selepas enam tahun bersama kelab itu.
“Sehingga 31 Ogos, banyak boleh berlaku. Saya pasti awak semua bosan dengan jawapan saya, saya juga bosan untuk menjawab soalan ini pada ketika ini,” kata Zidane.-AGENSI











