KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya fungsi raja-raja di Malaysia diangkat menjadi kuasa pengimbang dalam sistem pentadbiran kerajaan di negara ini berdasarkan kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong.
Ini kerana raja-raja atau institusi raja di peringkat Persekutan adalah idola perpaduan bagi menyatu padukan rakyat sama ada di peringkat negeri-negeri manakala dari segi bangsa dan agama, baginda adalah puncak keadilan tanpa mengira agama.
Menurut Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Sham Rahayu Ab Aziz, rakyat hari ini perlu didedahkan dengan istilah kerajaan baginda dan pembangkang baginda.
“Kita perlu ubah mind set rakyat hari in khususnya pentadbir kerajaan yang mana istilah yang diguna pakai adalah kerajaan dan pembangkang. Dua istilah ini perlu diubah menjadi istilah kerajaan baginda dan pembangkang baginda kerana kuasa yang ada pada raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong merupakan kuasa pengimbang kepada pentadbiran kerajaan,” katanya ketika hadir sebagai tetamu segmen bual pagi, Mornink Blues di Utusan Online, hari ini.
Prof. Sham Rahayu berkata, raja atau Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukan simbol semata-mata sebaliknya kerajaan perlu bertindak atas nasihat raja, sultan dan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 43, Perlembagaan.
Katanya lagi, Raja Berperlembagaan mempunyai hak untuk mengetahui semua urusan atau urus tadbir negara kerana fungsi baginda adalah sebagai ketua negara.
“Baginda juga boleh memberi amaran selain daripada menyatakan pandangan demi kepentingan rakyat jelata tanpa mengira kaum atau pun parti.
“Oleh itu, sudah tiba masanya rakyat Malaysia khususnya generasi hari ini memahami konsep itu sendiri. Apa tah lagi, sesuatu institusi Yang di-Pertuan Agong itu diwujudkan kerana ia mempunyai aspirasi, sejarah dan sebab musabab,” katanya.
Sebagai pakar dalam bidang Perlembagaan, kata Prof. Sham Rahayu, sistem raja-raja yang diguna pakai hari ini boleh dijadikan contoh tauladan terbaik yang mana sembilan orang raja-raja, bermuafakat berkongsi kuasa dan menyerahkan kuasa kepada seorang Yang di-Pertuan Agong kerana perpaduan, musyawarah dan perbincangan hanya menjadi amalam di negara kita.
“Itu bezanya demokarasi dengan sistem monarki yang lebih tersusun. Dalam segi sejarah, sejak Merdeka, masalah dalam istana atau perebutan takhta tidak melimpah.
“Jadi, proses penuh muafakat yang diwarisi dengan sifat terpuji yang ditunjukkan oleh raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong perlu diangkat kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











