BERLIN – Pengendali Bayern Munich, Nico Kovac memberitahu bahawa dia telah menghubungi bos Manchester City, Pep Guardiola untuk memohon maaf kerana cuba mendapatkan penyerang kelab England itu dari Jerman, Leroy Sane.
Kovac sebelum ini berkata dia yakin perjanjian boleh dilakukan bagi mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu namun komen berkenaan dikritik presiden kelab itu sendiri, Karl-Heinz Rummenigge yang menyifatkan ia tidak membantu dalam melakukan rundingan.
“Saya menelefon Pep Guardiola dan memohon maaf kepadanya kerana saya terlalu mendesak, saya akan lebih berhati-hati pada masa depan,” kata Kovac selepas Bayern tewas kepada Tottenham Hotspur menerusi penentuan penalti dalam saingan terakhir pramusim.
Minggu lalu Guardiola menggesa Sane membuat keputusan jika dia mahu kekal di kelab juara Liga Perdana Inggeris itu atau ke Bayern selepas penyerang itu meledak dua gol ketika melakar kemenangan besar 6-1 ke atas kelab Hong Kong, Kitchee.
“Dia pemain yang sangat saya hormati, saya sangat sukanya. Saya rasa dia ada peluang yang hebat untuk membina karier lebih baik. Dia juga menakjubkan dalam aspek permainan.
“Apa pun jawapan tidak berada dalam tangan saya untuk menentukannya. Jika dia mahu kekal dan mencapai persetujuan, ia adalah bagus tetapi jika dia mahu meninggalkan kelab kami tidak boleh melakukan apa-apa. Saya harap dia kekal,” katanya. – AFP











