KHARTOUM 31 Julai – Konflik Sudan belum menunjukkan tanda akan reda apabila enam orang termasuk lima pelajar sekolah di ibu negeri Kurdufan Utara maut dipercayai ditembak tentera selepas mereka mengadakan demonstrasi membantah kekurangan bekalan roti dan minyak, kelmarin.
Lapor Arab News, berikutan krisis di El-Obeid itu, pihak berkuasa mengarahkan penutupan sekolah di seluruh Sudan, semalam selepas ratusan pelajar mengadakan demonstrasi membantah kematian pelajar itu.
“Membunuh seorang pelajar seumpama membunuh sebuah negara,” laung ratusan pelajar yang memakai uniform sekolah dan mengibarkan bendera Sudan semasa mengadakan demonstrasi jalanan, semalam.
Selain El-Obeid, protes jalanan itu mula merebak ke bandar-bandar lain yang digerakkan oleh kumpulan pelajar.
Dalam kejadian itu, lima orang pelajar ditembak mati manakala lebih 60 lagi cedera, ada di antaranya ditembak penembak tepat semasa pihak berkuasa cuba menyuraikan protes membantah kekurangan bekalan minyak dan roti oleh pelajar.
Seorang lagi penunjuk perasaan dilaporkan mati akibat kecederaan selepas ditembak di kepala lewat malam tadi dalam kejadian yang didakwa didalangi Pasukan Sokongan Cepat (RSF).
Enas Saifeddine, seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun yang menyertai perhimpunan itu berkata, mereka tidak akan berdiam diri atas kejadian yang menimpa rakan mereka.
“Mereka membunuh kami, mereka membunuh lima pelajar di El-Obeid hanya kerana mereka berjuang untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik,” katanya.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden itu dan memastikan dalang dibicarakan.
“Tiada pelajar sepatutnya dikebumikan dalam uniform sekolah. Kesemua pelajar yang maut berumur antara usia 15 dan 17 tahun,” katanya.
Memetik laporan agensi berita SUNA, arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan Majlis Pemerintahan Tentera kepada semua sekolah termasuk pendidikan awal, rendah dan menengah berkuat kuasa hari ini sehingga notis lanjut.
Bagi meredakan ketegangan, kerajaan turut mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam bermula semalam di empat bandar di Kordofan Utara selepas kumpulan penunjuk perasaan utama, Persatuan Profesional Sudan menggesa pelajar menyertai bantahan itu.
Sementara itu, Ketua Majlis Pemerintah Tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan menyatakan kekesalan berhubung insiden yang berlaku di El-Obeid dan mahu rundingan peralihan politik disegerakan.
“Saya berharap Majlis Tentera Sudan dan gabungan pembangkang akan mencapai kata sepakat dalam meredakan keadaan. Ini mungkin satu isyarat untuk menandatangani perjanjian secepat mungkin,” jelasnya.
Bagaimanapun beliau tidak dapat mengesahkan kumpulan yang bertanggung jawab menembak mati pelajar berkenaan dan kes itu masih dalam siasatan. – AGENSI











