SINGAPURA 31 Julai – Polis Singapura sedang menyiasat sebuah klip video lagu rap yang dihasilkan oleh selebriti internet tempatan, Preetipls yang didakwa mempunyai kandungan jelik dan bersifat perkauman.
Lapor Channel News Asia, rakaman video bertajuk ‘K Muthusami’ itu menunjukkan Preetipls atau nama sebenar, Preeti Nair dan abangnya, Subha menyanyikan lagu rap sebagai reaksi kepada iklan aplikasi pembayaran elektronik (E-Pay) yang menarik minat netizen.
Preeti dan abangnya dilapor menyanyikan lagu rap itu di luar medan selera yang memaparkan iklan E-Pay itu dan mengetengahkan isu perkauman stereotype dihadapi komuniti minoriti dan India di Singapura.
Video sarat dengan kata-kata kesat itu menyasarkan kaum China di republik tersebut dan ditonton lebih 40,000 kali di Facebook selain dimuatnaik dalam YouTube dan Instagram.
“Kami sedar mengenai sebuah video dalam talian yang ditujukan terhadap iklan E-Pay. Satu laporan polis telah dibuat terhadap video berkenaan kerana mengandungi kandungan jelik dan siasatan polis masih sedang dijalankan.
“Pihak polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang kandungan yang menyakitkan sehingga boleh mengganggu keharmonian antara kaum,” kata Pasukan Polis Singapura dalam satu kenyataan, semalam.
Kedua-dua beradik itu dipercayai merujuk iklan menampilkan pelakon Mediacorp, Dennis Chew yang memaparkan individu di Singapura daripada empat bangsa.
Namun iklan itu mengundang kemarahan netizen selepas Chew, seorang Cina tampil dengan ‘muka coklat’ dalam usaha meniru kaum lain dan Mediacorp dalam satu kenyataan memohon maaf berikutan iklan tersebut.
Sementara itu, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam berkata, klip video tersebut menghina warga Cina Singapura, menggunakan kata-kata kesat terhadap mereka, gerak isyarat yang kurang sopan dan menunjuk jari tengah bagi membuatkan masyarakat minoriti marah dengan kaum tersebut.
“Apabila anda menggunakan kata-kata kesat, bahasa kasar, menyerang bangsa lain serta menyiarkan klip video itu secara umum, kami perlu meletakkan batasan kerana tindakan seperti itu tidak boleh diterima,” katanya. – AGENSI.











