MENJADI trend masyarakat seluruh dunia kini menggunakan aplikasi FaceApp iaitu menyunting gambar dirinya atau seseorang ke masa muda, tua mahupun mengubah wajah kepada jantina lain.

Bukan sahaja FaceApp, malah terdapat pelbagai aplikasi suntingan menjadi pilihan pengguna untuk menyunting foto agar kelihatan sempurna sebelum dimuat naik dalam laman sosial.
Walaupun kini isu keselamatan mengenai data privasi seseorang sedang hebat dibincangkan, namun daripada satu sudut yang ramai terlepas pandangan adalah penggunaan aplikasi tersebut jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurut pendakwah, Syeikh Utsman Al Khamis Hafizahullah, hukum mengubah wajah menggunakan aplikasi tertentu adalah tidak dibenarkan (haram).
“Tidak boleh. Merubah gambar seperti membesarkan atau mengecilkan hidung, bentuk mulut, pipi, mata atau menghilang sesuatu (daripada bentuk foto asal) semuanya tidak dibolehkan. Apa sahaja yang diubah, maka tidak boleh,” katanya seperti dipetik dalam laman Facebook Manhaj Salaf Malaysia.
Ini kerana jelasnya, tindakan tersebut disifatkan seperti merubah ciptaan Allah SWT.
“Berhati-hati daripada merubah ciptaan Allah SWT,” nasihatnya.
Sementara itu, pendakwah dari Indonesia, Sofyan Chalid Idham Ruray turut berkongsi pandangan sama kerana penggunaan aplikasi penyuntingan wajah jelas bertentangan dengan syariat Islam iaitu:
1. Membawa kepada syirik
Apabila seseorang menyakini dan percaya akan bentuk wajahnya yang diubah menggunakan aplikasi tertentu bermakna dia telah meramal masa depan dan perkara ghaib yang tidak diketahui oleh manusia kecuali Allah SWT.
2. Membawa kepada syirik kecil
Walaupun tiada niat untuk mempercayai perbezaan wajahnya selepas menggunakan aplikasi tertentu dan hanya sekadar hiburan atau keseronokan tetapi ia tetap membawa kepada perkara-perkara berkaitan syirik kecil kerana perbuatan tersebut akan menjadi pintu yang membawa kepada perbuatan syirik besar.
3. Merubah ciptaan Allah SWT
Walaupun hanya sekadar dalam bentuk foto, ia masih lagi haram kerana hasil gambar tersebut (selepas disunting) mirip kepada ciptaan yang Maha Esa.
4. Tidak bermanfaat
Tindakan bermain aplikasi tersebut untuk apa jua tujuan adalah perbuatan sia-sia yang tidak memberikan manfaat boleh membawa kepada kerugian sekali gus menjurus kepada perbuatan berdosa.











