“Kenapa saya perlu buat gigi sedangkan melalui gigi inilah orang kenal saya, orang kenal siapa Usop Mentor.”
Itu jawapan yang diberikan penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Mentor Milenia 2017, Usop. Meskipun bukan berniat untuk menongkah arus dalam industri seni hiburan tanah air, pelantun lagu Aku Yang Bersalah ini bagaimanapun menyedari realiti yang harus dihadapinya demi bergelar penyanyi.
Walaupun Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 22, tidak pernah berkecil hati dengan kata-kata negatif yang dilontarkan kepadanya, dia mengambilnya dari sudut positif dan meneruskan apa sudah dirancang.
“Sebenarnya banyak orang cakap dengan saya, kenapa tak buat gigi? Banyak kali jugalah pertanyaan itu datang kepada saya. Tidak terasa hatipun tapi ia membuat saya terfikir, kenapa perlu buat gigi sedangkan melalui gigi inilah orang kenal saya.
“Jadi bila tengok komen-komen tentang penampilan, macam-macamlah saya kena buat. Contohnya ada orang kata muka saya macam muka tukang kebunlah, itulah inilah. Namun saya ambil kata-kata itu sebagai pencetus semangat.
“Memanglah di Malaysia suka pada yang cantik dan kacak, namun untuk mengubah muka ini memang tidaklah kerana ini adalah anugerah Allah. Kalau mahu diperelok, saya akan buat dari segi pemakaian dan gaya,” ujar jejaka yang berasal dari Kulim, Kedah ini.
Jelas penyanyi yang pernah berduet dengan Hazama ini, walaupun dia mengetahui realiti tentang penyanyi yang kurang mempunyai pakej untuk berjaya dalam industri, dia mengambil inisiatif dari segi mempelbagaikan bakat yang ada pada dirinya.
“Saya sebenarnya ada kebolehan untuk meniru suara penyanyi lain. Saya boleh tengok dan tiru sama seperti suara penyanyi asal tetapi tidaklah selalu saya akan buat begitu. Jadi bila orang tanya komen saya tentang penyanyi yang kurang pakej susah untuk naik atau dikenali, itu tandanya kita harus bekerja lebih keras agar bakat yang dinilai berbanding rupa.
“Sama seperti yang saya beritahu sebelum ni, saya tak ambil hati bab itu. Mungkin di Malaysia ramai yang minat penyanyi yang ada rupa, tapi tak apalah sekurang-kurangnya Malaysia ada penyanyi yang bermuka unik seperti saya.
“Senang cerita, kita ambil contohnya di luar negara, mereka ada mendiang Freddie Mercury daripada band Queen. Jadi di Malaysia mungkin satu hari nanti mungkin ada, kita tidak tahukan?” kata Usop yang pernah mengeluarkan lagu berjudul, Matahari dan Nama Terindah.

Mahu ‘move on’ daripada lagu sedih
TIDAK mahu terus berada dalam zon selesa, bekas anak didik Hazama ini jujur mengakui mahu ‘keluar’ daripada menyanyikan lagu-lagu sedih. Meskipun baru mengeluarkan single Selamanya pada April lalu, Usop teringin mahu mencuba genre lain daripada keselesaannya.
“Untuk kekal dalam industri kita kena bijak dan tahu cara untuk memenangi hati pendengar. Saya ini jenis orang yang suka mencuba dan kerana itulah mungkin selepas ini saya mahu mencuba lagu-lagu berentak ‘catchy’.
“Boleh nak cuba lagu genre lain, tapi tidaklah terlalu mencuba sangat. Namun, apa-apapun saya bersyukur kerana peminat boleh terima lagu Selamanya. Lagu kali ini berentak rock balada merupakan kesinambungan daripada lagu Aku Yang Bersalah.
“Sebelum nak keluarkan Selamanya, memang ambil masa kerana saya mahu mencari lagu yang benar-benar sesuai dengan diri.
“Saya tak mahu ambil mudah kerana inginkan hasil yang berkualiti. Malah saya ada berbincang dengan tim untuk menghasilkan muzik video sambungan daripada single sebelum ini,” ujar Usop yang menyimpan impian mahu berada di pentas besar untuk mempersembahkan bakatnya.
Meskipun pernah dianggap mengulangi fenomena Mawi sewaktu memenangi tempat kedua Mentor Milenia 2017, Usop tekad untuk membuktikan dirinya boleh berjaya dengan namanya sendiri dan bukan melalui bayangan orang lain.
“Ada juga orang kata suara saya sama seperti sifu saya, Hazama dan sekarang Allahyarham Saleem pula. Saya tidak kisah, namun saya tidak mahu jadi orang lain. Biarlah saya jadi diri sendiri. Mungkin adalah sedikit sama kerana suara yang serak-serak basah, sesiapa yang mengenali siapa Usop, dia akan kenal suara saya.
“Lagi satu, biarlah nama saya naik secara perlahan-lahan daripada naik mendadak dan kemudiannya jatuh, itu lebih sakit. Saya mengambil iktibar daripada pengalaman lepas,” katanya.











