SELEPAS lebih 10 tahun, dua senjata digeruni milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu peluru berpandu anti kapal Exocet MM40 Block II dan Sea Skua mempamerkan taringnya.
Kali ini kemampuan kedua-dua senjata tersebut diuji dalam siri latihan Eksesais Kerismas 26/2019 baru-baru ini.
Apa yang membanggakan, kejayaan penembakan misil buatan Perancis dan United Kingdom (UK) itu sekali gus membuktikan kesiagaan dan keupayaan armada TLDM berada pada tahap tertinggi.
Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany, walaupun kedua-dua peluru itu begitu lama dalam inventori dan baru diuji, penyelenggaraannya sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Ini menunjukkan keupayaan TLDM bagi memastikan kedua-dua sistem peluru berpandu itu berfungsi dengan baik dan bersedia menghadapi sebarang ancaman walaupun telah berkhidmat lama.
“Selain itu, menerusi penembakan tersebut membuktikan keupayaan sebenar kuasa tempur TLDM kepada masyarakat umum dan negara serantau selain menunjukkan pelaburan rakyat terhadap pembelian aset ketenteraan khususnya TLDM bukanlah sia-sia tetapi demi kesejahteraan dan keamanan negara,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Exocet MM40 Block II berada dalam inventori atau perkhidmatan sejak 1996 manakala Sea Skua berada dalam inventori sejak 2001.
Kapal Diraja (KD) Kasturi yang dijadikan sebagai tapak pelancar peluru berpandu Exocet MM40 Block II kini sudah berusia 35 tahun sejak ditauliahkan pada 15 Ogos 1984, namun khidmatnya masih `berbisa’.
Begitu juga dengan pesawat Super Lynx yang masih mampu melancarkan peluru berpandu walaupun sudah berkhidmat selama 15 tahun.
Dalam pada itu Mohd Reza berkata, Eksesais Kerismas diberhentikan seketika sebelum ini atas beberapa sebab termasuk penggabungan latihan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Eksesais Angsa.
“Keadaan persekitaran berubah. Disebabkan perkara tersebut kita mulakan semula Kerismas. Walaupun ada penglibatan bersama dengan TUDM, tetapi ia tidaklah seperti Eksesais Angsa. Apa yang penting ada perkongsian dan kerjasama.
“Saya tidak nafikan akan datang eksesais (Angsa) akan dihidupkan dengan penglibatan ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” ujarnya.











