KUALA LUMPUR 31 Julai – RHB Bank Bhd telah memperoleh kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan rundingan dengan Tokio Marine Asia Pte Ltd (TMA) berhubung cadangannya untuk menjual kepentingannya dalam RHB Insurance Bhd.
“RHB Bank ingin mengumumkan bahawa BNM menerusi surat bertarikh 29 julai, 2019, menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai bantahan untuk syarikat itu memulakan rundingan dengan TMA berhubung penjualan yang dicadangkan sehingga 94.7 peratus,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Katanya kelulusan itu sah untuk tempoh enam bulan dari tarikh surat BNM dikeluarkan.
Saham RHB Bank, berada pada RM5.44 pada Isnin, akan menyambung semula dagangan pada 2.30 petang selepas meminta penggantungan perdagangan sekuritinya dari 9 pagi hari ini.- BERNAMA











