KUALA LUMPUR 31 Julai – Seorang lelaki warganegara India dikhuatiri lemas apabila terjatuh ke Sungai Klang berhampiran Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur semalam.
Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Mohd. Eirwan Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.46 petang.
“Seramai 26 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Pantai dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan oleh saksi, mangsa terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Eirwan memberitahu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalan menggunakan kayak serta teknik pencarian pada permukaan (surface searching) oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Selain itu, operasi pencarian juga diperluaskan sehingga ke Kampung Haji Abdullah Hukum berhampiran KL Eco City.
“Operasi pencarian ditangguhkan semalam dan disambung semula hari ini pada pukul 8 pagi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











