Pengadil tempatan tetap jadi keutamaan - Utusan Malaysia

Pengadil tempatan tetap jadi keutamaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mutu pengadilan final Piala FA mendapat pujian dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan selepas pengadil dari Jepun, Takuto Okabe bertindak cemerlang mengawal perlawanan berprofil tinggi tersebut sambil dibantu dua rakan senegaranya, Akane Yagi dan Osamu Nomura.

Begitupun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum membuat keputusan sama ada mahu menggunakan pengadil dari luar untuk mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijangka berlangsung pada 2 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata, walaupun pengadil import bertindak cemerlang mengendalikan final Piala FA antara Perak bertemu Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, namun, tenaga tempatan tetap menjadi keutamaan untuk mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berkenaan mahu menggunakan pengadil dari luar atau tempatan masih belum ada perbincangan. FAM memberi keutamaan kepada pengadil tempatan bagi mengadili final Piala Malaysia. Ini liga kita dan biar kita yang kendalikannya.

“Buat masa sekarang, kita dahulukan anak tempatan untuk kendalikan final Piala Malaysia, walaupun pengadil dari Jepun mengendalikan final Piala FA dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam final tersebut menyaksikan Kedah muncul juara selepas menewaskan Perak 1-0 dan mengulas lanjut mengenai mutu pengadilan, Dali mengakui amat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Okabe dan dua lagi rakannya.

“Mereka mengendalikan perlawanan dengan baik. Okabe tenang dan konsisten dalam membuat keputusan, walaupun permainan diheret hingga 120 minit, namun, dia masih boleh mengawal dengan baik. Ini yang perlu kita contohi.

“Enam kad kuning dan satu kad merah, tetapi permainan tetap berjalan dengan baik. Saya fikir kita perlu positif. Ada perkara yang perlu kita lihat untuk dijadikan penanda aras kepada pengadil tempatan, bagaimana untuk menguruskan perlawanan dengan konsisten.

“Bagaimanapun, saya bukan nak kata pengadil tempatan tidak bagus, bukan. Pengadil kita masih berada di tahap terbaik. Kita tengok kelebihan yang mereka ada dan walaupun sikit tetap menjadi ilmu untuk kita,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini