SEMENYIH 29 Julai- Polis menahan lima individu termasuk ‘raja dadah’ dalam serbuan di Lembah Klang dan Johor, kelmarin.
Dalam serbuan bermula pukul 5.10 petang hingga 6.20 petang oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM5.8 juta turut dirampas.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, hasil siasatan mendapati kesemua lelaki berusia 32 hingga hingga 48 tahun itu dipercayai terlibat dengan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan luar negara.
“Pemeriksaan mendapati salah seorang daripada lima ditahan mempunyai rekod jenayah manakala seorang lagi positif dadah jenis methamphetamine.
“Kita turut merampas sebanyak 64.5 kilogram (kg) syabu, 2.7 kilogram ketamin, 77,500 pil ekstaksi dan 57 paket minuman disyaki dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Khalil, pihaknya turut menyita lima kenderaan jenis Toyota Camry; Honda City; Proton Saga; Mercedes Benz dan Nissan Almera.
Jelasnya, beberapa wang tunai pelbagai jenis mata wang, jam tangan jenama Rolex serta barang kemas turut disita.
“Kesemua tangkapan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah bagi disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- UTUSAN ONLINE











