KOTA KINABALU 29 Julai – Polis berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dadah jenis ketamin seberat 747 gram dan 500 bijil pil eramin 5 menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan tertangkapnya tiga lelaki pada Khamis lepas.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, ketiga-tiga lelaki itu berusia antara 25 hingga 37 tahun dan dua daripada mereka ditahan di balai ketibaan KKIA sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada pukul 6.40 petang.
“Seorang lagi ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Penampang, di sini pada pukul 11 malam.
“Dadah itu dibawa dalam satu bagasi dan ketamin yang dirampas bernilai RM30,000 manakala pil eramin 5 seberat 145 gram yang dirampas bernilai RM7,500,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Zaini, pihaknya turut merampas wang tunai RM8,000 dan sebuah kereta Honda Jazz bernilai RM50,000 daripada lelaki ketiga yang ditahan di Penampang.
Jelasnya, ujian air kencing mendapati dua lelaki yang ditahan di KKIA itu positif menggunakan dadah jenis ketamin.
Zaini berkata, siasatan awal mendapati dadah itu diperolehi dari Kuala Lumpur dan cuba dibawa ke Kota Kinabalu untuk dipasarkan di pusat-pusat hiburan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953 dan ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman sehingga 1 Ogos ini. – BERNAMA











