PKR perlu selesai masalah dalaman - Utusan Malaysia

PKR perlu selesai masalah dalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 28 Julai – PKR perlu segera menyelesaikan masalah dalaman mereka khususnya membabitkan pertembungan secara terbuka antara Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya berpandangan, adalah lebih baik masalah tersebut diselesaikan secara baik dan kembali fokus untuk membangun dan menyelamatkan negara.

“Apa yang penting bagi kita adalah menunaikan tanggungjawab sebagai kerajaan. Jadi saya harap PKR dapat selesaikan masalah dalaman secara baik,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Bersatu negeri di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut dalaman PKR khususnya membabitkan pertembungan secara terbuka Anwar dan Mohamed Azmin yang bagaikan tiada kesudahannya.

Pertelagahan itu dilihat mula meletus selepas Anwar meminta Mohamed Azmin meletak jawatan jika video seks sejenis yang dikaitkan dengannya itu benar dan kemudian dibalas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu agar Anwar bermuhasabah diri terlebih dahulu.

Berikutan itu juga penyokong dan pemimpin daripada dua kem itu terus berbalas kenyataan sehingga mengundang keresahan rakyat.

Sementara itu, Marzuki juga menyeru agar mana-mana pihak tidak terlalu mendesak dalam isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Kita sudah tahu ada perjanjian untuk Dr. Mahathir bagi laluan kepada Anwar untuk jadi Perdana Menteri kelapan. Jadi tunggulah tiba masanya nanti.

“Tidak perlu kita mendesak dalam soal ini kerana apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah soal negara dan rakyat. Sampai waktu nanti ambillah jawatan itu (Perdana Menteri).

“Kalau asyik mendesak, nampak seperti kita tidak sehaluan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Luar.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini