Demam denggi: Selangor kekal tertinggi - Utusan Malaysia

Demam denggi: Selangor kekal tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT 28 Julai – Sebanyak 72,356 kes denggi telah dilaporkan sepanjang tahun ini berbanding 38,190 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Kes demam denggi yang direkodkan bermula Mei hingga 20 Julai lalu pula meningkat sebanyak 34,166 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan sebanyak 89 peratus itu turut menyaksikan berlakunya pertambahan jumlah kematian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, sebanyak 108 kematian dilaporkan pada tahun ini berbanding 61 kematian pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 77 peratus.

“Angka ini memang membimbangkan kerana pada masa sama langkah-langkah kawalan tetap dijalankan sekali gus menuntut kerjasama semua pihak.

“Usaha kolektif dan bersepadu oleh semua pihak ini dapat menjamin kejayaan pencegahan denggi secara berterusan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Combi, Hari Denggi ASEAN dan Anugerah IPT Bebas Denggi Peringkat Kebangsaan 2019 di Seri Iskandar dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatakuasa Kesihatan negeri, A. Sivanesan dan Pengarahan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming.

Mengulas lanjut kata Dzulkefly, Selangor masih merupakan negeri tertinggi dengan merekodkan 40,849 kes melibatkan 35 kematian berbanding 21,648 kes dengan 17 kematian tahun lalu.

Katanya, ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (8,794 kes, enam kematian) dan Johor (6,057 kes, 16 kematian).

“Justeru, kementerian akan menggandakan lagi peranan COMBI atau Communication for Behavioural Impact yang kini berjumlah 2,761 pasukan yang ditubuhkan seluruh Malaysia.

“Ia dianggotai 30,958 sukarelawan dari kalangan komuniti sebagai agen perubah yang mengamalkan aktiviti pencegahan denggi setiap minggu di kawasan masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini