IPOH 21 Julai – Perak bukan sahaja meraih suntikan semangat menjelang perlawanan akhir Piala FA, Sabtu depan, malah menghumban Kuala Lumpur ke saingan Liga Perdana musim depan selepas menewaskan The City Boys 2-1 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Perah, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan anak-anak buah Mehmet Durakovic menutup kempen di tangga kelima dengan 33 mata hasil lapan kemenangan, sembilan seri dan lima kalah.
Dua jaringan Raianderson Da Costa Morais atau Careca yang disempurnakan pada minit ke-31 dan 67 memastikan kemenangan Bos Gaurus.
Biarpun cuba bangkit menerusi rembatan deras Luke Woodland pada minit ke-76, namun jaringan itu gagal menyelamatkan Kuala Lumpur daripada menduduki dasar liga dengan 14 mata.
Kekalahan ketujuh berturut-turut itu juga bermakna, Kuala Lumpur terlepas aksi Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2015, sebaliknya hanya akan bersaing dalam Piala Cabaran. – UTUSAN ONLINE











