TELUK INTAN 21 Julai – Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita dan merampas 424.5 gram dadah jenis heroin serta 170 kilogram daun ketum dalam dua serbuan berasingan di Hutan Melintang dan Teluk Intan semalam.
Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun itu diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, tangkapan pertama pada pukul 2.30 pagi di Hutan Melintang itu membabitkan lima individu termasuk seorang wanita.
Katanya, pemeriksaan ke atas kesemua mereka telah menjumpai dadah jenis heroin seberat 424.5 gram.
“Ujian saringan awal ke atas lima individu ini mendapati empat lelaki positif methamphetamine manakala ujian ke atas wanita itu pula negatif.
“Pemeriksaan juga mendapati hanya dua daripada lima suspek tersebut mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, tangkapan kedua dia Teluk Intan pada pukul 5.30 pagi hari sama pula membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama 170 kilogram daun ketum.
Katanya, suspek yang mempunyai satu rekod lampau bersabit kes dadah itu bagaimanapun negatif mengambil dadah berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan.
“Kesemua suspek yang ditahan adalah penganggur dan dalam serbuan itu, kita telah menyita sebuah kereta Proton Wira dan wang tunai berjumlah RM2,066.
“Nilai rampasan dadah jenis heroin dan daun ketum itu berjumlah RM23,929.50. Lima suspek termasuk seorang wanita itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki berusia 30 tahun itu pula disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.-UTUSAN ONLINE











