KUALA LUMPUR – Md. Azhar Abd. Jalil melakar kejutan apabila berjaya menawan litar Pontian, Johor selepas muncul juara kelas CP150 pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas hari ini.
Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang itu memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa keseluruhan 17 minit, 30.022 saat.
Itu adalah kemenangan pertama Azhar musim ini selepas bergelut dengan prestasi yang tidak menentu sejak Pusingan 1.
Begitupun, dia hampir terlepas gelaran apabila dipintas oleh pencabar terdekatnya, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) di pusingan ke-18.
Begitupun, namun Azhar kembali merampas kedudukan gara-gara kesilapan yang dilakukan pesaingnya itu pada pusingan terakhir.
Tanpa menoleh ke belakang, Azhar terus memecut ke garisan penamat untuk menghadiahkan kemenangan yang amat bermakna buat pasukan yang disertainya sejak tahun 2007 itu.
Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, strateginya pada perlumbaan tersebut adalah untuk cuba berada di hadapan namun keadaan jenteranya kurang stabil.
Akhirnya, dia memilih untuk mengharunginya secara selamat sambil terus memberi tekanan kepada Afif.
“Semua pelumba bersaing secara selamat kerana keadaan litar yang sangat mencabar. Litar ini terlalu banyak selekoh U dan ia menyukarkan kami untuk memecut ke tahap maksimum.
“Saya hanya mengekalkan momentum sambil menunggu peluang untuk menempatkan diri di hadapan. Apabila menyedari keadaan jentera Afif yang semakin hilang tahap kelajuannya, saya mula melancarkan gerak, sekali gus berjaya memimpin perlumbaan,” kata Azhar yang kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan mengumpul 43 mata.
Afif yang kekal mendahului carta keseluruhan dengan 78 mata sekadar menduduki tempat kedua perlumbaan tersebut dengan masa 17:30.190s.
Tempat ketiga berada dalam genggaman pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Fakhrusy Syakirin Rostam dengan masa 17:33.638s.
Dalam kategori CP115, Md Syafik Rosli kembali menyengat apabila muncul juara dengan masa 9:07.283s.
Syafik yang memenangi Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang sebelum ini membuktikan bahawa dia berhak bergelar Raja CP115 walaupun gagal menamatkan perlumbaan Pusingan 1 di Jasin awal, tahun ini dan Pusingan 3 di Tangkak, Johor.
Hari ini, semuanya berjalan dengan sempurna bagi membolehkan pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu bergelar juara buat kali kedua musim ini.
Kategori Wira pula menyaksikan penguasaan Md Zaki Zamri yang muncul juara dengan catatan masa 11:13.521s.
Pusingan 5 kejuaraan ini akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 23-24 Ogos nanti. – UTUSAN ONLINE











