KUALA LUMPUR – Pemulihan bekalan air akibat pencemaran bau di Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor kini mencapai tahap 97 peratus sehingga pukul 6 petang hari ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad dalam satu kenyataan berkata, tiga wilayah iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Lumpur telah pulih sepenuhnya.
“Sehingga pukul 6 petang, status pemulihan di empat lagi wilayah iaitu Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat mencapai tahap antara 81 hingga 98 peratus. Kami menyasarkan pemulihan bekalan 100 peratus di semua kawasan yang terjejas menjelang tengah malam esok.
“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh pemulihan ini amat kami hargai dan bantuan lori-lori tangki air masih terus digerakkan ke kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











