PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berkerjasama erat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membendung penjualan rokok elektronik dan vape kepada murid sekolah seperti yang viral beberapa hari sebelum ini.
KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak kementerian mengambil langkah sewajarnya dalam memberi pendedahan tentang larangan membeli dan bahaya penggunaan bahan-bahan tersebut kepada murid sekolah.
Jelasnya, KPM juga akan mengingatkan ibu bapa untuk memantau kegiatan anak-anak yang menjurus ke arah kegiatan itu.
“Pihak kementerian memandang serius isu jualan bahan-bahan terlarang seperti rokok elektronik dan vape kepada murid-murid sekolah seperti yang diviralkan beberapa hari sebelum ini.
“Hasil daripada pemantauan dan aduan yang diterima, KPM mendapati jualan bahan-bahan tersebut adalah di luar kawasan sekolah,” katanya. – K! ONLINE











