KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran, Goh Liu Ying berasa sangat kecewa kerana gagal melangkah ke final Terbuka Indonesia namun berharap dapat beraksi cemerlang di Terbuka Jepun.
Liu Ying bersama pasangannya, Chan Peng Soon terkandas di separuh akhir kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 1,000 kepada pilihan kedua dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dongping 13-21, 20-22.
“Saya sangat kecewa kerana gagal meraih kemenangan pada set kedua, mata perlawanan sangat dekat tetapi kami tidak berajaya mengheret permainan ke set penentuan.
“Kami akui ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian untuk menjadikan kami lebih baik selepas ini dan lawan kami di sini juga adalah pasangan yang lebih baik.
“Kami akan kembali dengan aksi lebih baik di Terbuka Jepun selepas ini,” kata Liu Ying menerusi laman Instagram miliknya.
Sementara itu, seorang lagi pemain beregu campuran, Lai Pei Jing memohon maaf kepada semua peminat badminton negara kerana gagal beraksi cemerlang selepas dia bersama gandingannya, Tan Kian Meng tewas kepada pilihan utama dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong apabila tewas 12-21, 16-21.
“Maaf kerana mengecewakan peminat Malaysia tetapi pada masa sama saya rasa gembira kerana kami berjaya ke separuh akhir buat kali pertama di kejohanan berataf Siri Jelajah Dunia Super 1,000.
“Perjuangan sudah bermula buat kami. Kami berjanji akan terus memperbaiki diri dan menjadi pasangan lebih baik pada masa akan datang,” kata Pei Jing. – UTUSAN ONLINE











