[VIDEO] Hanya disebabkan satu puntung rokok.... - Utusan Malaysia

[VIDEO] Hanya disebabkan satu puntung rokok….

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 20 Julai – Hanya disebabkan satu puntung rokok, sebuah rumah di tingkat 1, Blok B Pangsapuri Seri Sena di Jalan Kampung Bakau di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu dikatakan berlaku selepas penghuninya yang menghisap rokok terlelap sehingga menyebabkan puntungnya terkena kain cadar seterusnya terbakar dan merebak di seluruh rumah.

Akibat kejadian itu, Khairul Anizar Embi,36, yang baharu seminggu menetap di rumah berkenaan tinggal sehelai sepinggang selain mengalami kerugian apabila tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam kediaman berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Khairul Anizar ketika ditemui berkata, selepas pulang dari kerja, dia berehat di ruang tamu rumah sambil menghisap sebatang rokok.

Katanya, dia kemudiannya terlelap dan tidak menyedari puntung rokok itu terkena kain cadar.

“Saya tersedar apabila terhidu bau asap dan ketika itu api sudah mula marak. Saya kemudian bergegas keluar daripada rumah bagi menyelamatkan diri. Waktu terlelap itu, puntung rokoknya telah terkena kain cadar.

“Saya baru tinggal di rumah arwah ibu ini sejak seminggu lalu. Meskipun tinggal sehelai sepinggang namun saya bersyukur sempat menyelamatkan diri. Jika saya tidak sedar, tidak tahulah apa akan jadi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Khairull Rizall Yahya memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pukul 1.48 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama anggota dari balai di sini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit mengawal kebakaran tersebut.

Katanya, ketika kejadian, mangsa sempat keluar menyelamatkan diri dan anggota berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak ke rumah lain di blok berkenaan.

“Kita masih menyiasat jumlah kerugian dan punca kebakaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini