KUALA NERUS 20 Julai – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA Terengganu 2019 di Stadium Tertutup Gong Badak hari ini.
Turut berangkat dua anakanda baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Muhammad Mua’az.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mohktar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengarah Pelancongan negeri, Ab. Rasid Jusoh.
Baginda sekeluarga turut meluangkan masa kira-kira dua jam melawat dan beramah mesra dengan pemilik haiwan comel itu di samping mendukung, membelai serta mengusap sebahagian kucing-kucing yang menjayakan pertunjukan tersebut.
Sultan dan Sultanah Terengganu bersama anakanda kemudian berkenan menyaksikan sesi penghakiman kucing oleh juri antarabangsa membabitkan empat kategori yang dipertandingkan iaitu ‘championship’, ‘premiership’, ‘kitten’ dan ‘household pet’.
Sementara itu, seorang pemilik kucing, Adillah Roose, 51, dari Kuala Lumpur teruja dan bertuah kerana berpeluang berkongsi cerita serta pengalamannya menjaga haiwan itu dengan Sultan Terengganu sekeluarga.
Katanya, sesi ramah mesra tersebut cukup istimewa kerana mengambil masa hampir 30 minit dan yang paling lama berbanding pemilik-pemilik kucing lain, bahkan dia sempat memberi tunjuk ajar kepada Tengku Muhammad Mua’az bagaimana untuk memegang kucing miliknya, Benjamin Button daripada baka Abyssinian.
“Selain memperkenalkan Benjamin Button saya turut diminta oleh rakan-rakan menjadi jurucakap mereka bagi lima kucing pelbagai baka lain antaranya Bombay, Egyptian Mau dan Persian-Himalayan Division sekali gus menyebabkan perbualan dengan Tuanku sekeluarga mengambil masa panjang.
“Saya gembira kerana Benjamin berjaya mencuri perhatian Tuanku sekeluarga. Benjamin kucing yang sangat manja dan kerana kemanjaannya, Tuanku sekeluarga turut mendukung dan mengusap si comel saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











