Klopp tidak bimbang Liverpool kalah - Utusan Malaysia

Klopp tidak bimbang Liverpool kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHICAGO – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak bimbang dengan kekalahan pertama pasukannya sekembali daripada berehat panjang apabila dijinakkan Borussia Dortmund 3-2 pada aksi persahabatan pra-musim Jelajah Amerika Syarikat awal hari ini.

Sebaliknya pengendali dari Jerman itu mengakui ada beberapa perkembangan positif yang ditunjukkan anak buahnya secara individu tetapi masih belum cukup jika cara mereka melepaskan gol dengan mudah diambil kira.

“Ia perlawanan yang sukar buat kedua-dua pasukan. Apa pun saya dapat melihat beberapa perkara baik termasuk persembahan secara individu tetapi ia masih belum cukup (untuk menang).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami sebenarnya tiada ke mana-mana malah hendak kata hampir pun tidak di tahap yang kami mahukan,” katanya merujuk kepada cara gol yang mereka lepaskan dengan mudah.

Dortmund lebih dulu membuka jaringan menerusi Paco Alcacer pada minit ke-3 sebelum Liverpool menyamakan kedudukan 10 minit sebelum babak pertama berakhir menerusi Harry Wilson.

Dua gol menerusi Thomas Delaney (m-53) dan Jacob Bruun Larsen (m-58) di awal babak kedua meletakkan kelab Jerman itu kembali selesa di depan sebelum Liverpool hanya mampu memberi respon dengan membalas satu gol sahaja hasil sepakan penalti Rhian Brewster pada minit ke-75.

Liverpool bagaimanapun beraksi tanpa beberapa pemain bintangnya seperti Roberto Firmino, Alisson yang masih berehat daripada tugas di Copa America serta Mohamed Salah dan Sadio Mane yang baharu selesai beraksi di Piala Negara Afrika.

Ini menyaksikan Klopp memberi peluang kepada pemain mudanya untuk beraksi di peringkat awal sebelum membuat 10 pertukaran yang masih tidak membuahkan hasil di babak kedua.

Liverpool akan menentang Sevilla dalam perlawanan kedua esok daripada tiga aksi persahabatan yang telah diatur untuk jelajah pra-musim kali ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini