Berdoa supaya Mahathir terus kekal - Ku Li - Utusan Malaysia

Berdoa supaya Mahathir terus kekal – Ku Li

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 20 Julai – Rakyat Malaysia dimohon mendoakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diberi kesihatan baik dan dipanjangkan umur supaya dapat kekal memerintah negara serta menyelesaikan masalah rakyat.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Dr. Mahathir perlu diberi peluang menerajui kerajaan baharu negara ini sehingga segala janji kepada rakyat berjaya ditunaikan.

Beliau bimbang jika berlaku peralihan jawatan itu sebelum sampai tempoh akan memberi kesan buruk kepada kerajaan yang diterajui serta ekonomi negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Marilah kita sama-sama berdoa agar Perdana Menteri diberi kesihatan yang baik supaya dapat menjalankan tugas yang diamanahkan untuk kesejahteraan rakyat.

“Kini bukan masanya untuk ada peralihan kuasa bagi jawatan itu kerana rakyat masih menantikan perubahan dilakukan kerajaan baharu seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di Balai Rakyat Bukit Chekati, di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO bahagian berkata, Mahathir juga dipercayai belum bersedia untuk menyerahkan peralihan kuasa Perdana Menteri itu.

Katanya, kerajaan harus menumpukan masalah rakyat dan bukanlah berebut kerusi di medan pemerintahan negara.

“Pelbagai persoalan timbul seperti apakah mereka (pemimpin kerajaan baharu) bersedia untuk tunaikan janji kepada rakyat sehinggalah berlaku tuntutan peralihan kuasa jawatan itu.

“Negara sekarang berada dalam keadaan tidak menentu samada kedudukan ekonomi dan kemajuan untuk dinikmati rakyat pelbagai kaum.

“Kita juga bimbang peluang pekerjaan kepada lepasan pengajian tinggi masih kurang dan perlu diberi pembelaan kerajaan baharu,” katanya.

Tambahnya, masalah itu akan menyebabkan kejadian yang tidak baik terutama peningkatan kadar jenayah dan negara berdepan masa depan yang gelap. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini