AL-QURAN adalah kalam Allah SWT yang terkandung dalamnya suruhan, larangan, iktibar dan pedoman untuk seluruh umat manusia.

Sudah tentulah, untuk mengetahui dan memahami isi kandungannya, kita bukan hanya perlu membaca tetapi menghayati mukjizat teragung itu tanpa rasa jemu.
Banyak kelebihan membaca dan menghayati kalam Allah itu antaranya sebagaimana Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat darjat beberapa kaum dengan adanya kitab al-Quran ini (orang yang beriman) serta menurunkan darjatnya kaum yang lain-lain dengan sebab al-Quran itu pula (yang menghalang) pesatnya Islam dan tersebarnya ajaran al-Quran itu.” – Riwayat Muslim
Namun secara realitinya masih ramai kalangan umat Islam yang bukan hanya gagal untuk memahami isi kandungan al-Quran, malah tidak tahu membaca al-Quran.
Halangan itu secara tidak langsung menjarakkan diri kita dengan al-Quran itu sendiri. Sedangkan Rasulullah pernah berpesan maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunah Rasulullah.” – Riwayat Imam Malik
Ternyata kekuatan pesanan Rasulullah itu telah mewujudkan pelbagai kaedah atau cara yang memudahkan umat Islam hari ini untuk mengenal huruf, membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran.
Walaupun kaedah itu memerlukan kita mengeluarkan sedikit belanja tetapi ia sebenarnya berbaloi kerana sekurang-kurangnya kita berpeluang untuk berpegang kepada pesanan Rasulullah itu.











