NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa baru-baru ini mempelawa Pas untuk mempertimbangkan tawaran menyertai Pakatan Harapan atas alasan sudah tiba masanya Pas dan pemimpinnya berfikir jika tidak mahu perjuangan selama 60 tahun menumbangkan UMNO menjadi sia-sia.
Pelawaan itu bukan sahaja ditolak malah dianggap sebagai ‘tidak menyelerakan’ oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen semalam.
Susulan itu, Pengarah Pilihan Raya Dewan Ulama Pas Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulama PAS Negeri Selangor,
Muhammad Najhan Halim tampil memberi penjelasan berhubung penyatuan UMNO-Pas dan pelawaan Pakatan Harapan (PH). Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran, ayat 102-104:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.
Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
1. Ayat di atas Allah SWT memerintahkan orang yang beriman dengan beberapa perintah dan suruhan.
2. Ia bermula dengan perintah-Nya agar orang beriman memiliki sifat taqwa dengan sebenar-benarnya. Dalam tafsir al-Qurtubi disebut oleh para ulama bahawa ‘bertaqwa dengan sebenar-benarnya’ bermaksud ‘berjihad dengan bersungguh-sungguh, jangan peduli cercaan yang mencerca dalam mentaati-Nya, menegakkan keadilan sekalipun terhadap diri dan keluarga sendiri.’
3. Kemudian, ia disusuli dengan perintah-Nya agar orang beriman berpegang teguh dengan Islam atas dasar taqwa yang dibina dan tidak bercerai-berai. Mengenangkan nikmat iman dan Islam yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka sebagai sebab mereka tidak bermusuhan sepertimana satu ketika dahulu, Allah SWT jualah yang menyatukan hati mereka dan bukannya manusia mahupun harta benda.
4. Allah SWT memerintah orang beriman agar melaksanakan tanggungjawab menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah mungkar menerusi kekuatan persahabatan yang ditautkan itu.
5. Pas adalah sebuah parti berasaskan dakwah dan siasah yang diwujudkan selari dengan usia pembentukan negara ini semenjak merdeka sentiasa mendahulukan penyatuan ummah khasnya umat Islam yang menjadi tunggak dalam negara.
6. Masyarakat Melayu Islam sebagai masyarakat majoriti adalah masyarakat dominan yang perlu digembleng pemikiran, tenaga, upaya, dan kuasa politik bagi memastikan agar negara ini tetap teguh dan kekal jati dirinya dan pada masa yang sama menjamin agama dan bangsa lain dipelihara hak mereka.
7. Inisiatif penyatuan ummah Pas-UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah bermula dengan kerjasama membina dan memantapkan suara pembangkang sebagai ‘semak dan imbang’ kepada Kerajaan PH sekarang. Dengan kekuatan suara pembangkang Pas-UMNO dalam wadah demokrasi yang sihat sebenarnya membawa kebaikan kepada suasana politik sekali gus kepada rakyat dan negara.
8. Namun, ketidakpuasan hati rakyat terhadap perilaku Kerajaan PH sehingga hari ini telah memusnahkan harapan rakyat yang telah memberikan kepercayaan dalam undi mereka pada PRU-14 lalu, di samping siri pembohongan manifesto serta janji, mengganggu-gugat kuasa Raja-Raja Melayu, mempertikai keistimewaan hak Melayu dan bumiputera, mengenepikan bahasa Melayu, tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan berbagai-bagai lagi menjadikan penyatuan ummah sebagai satu keperluan mendesak kepada rakyat dalam negara.
9. Rakyat sendiri melihat perlunya penyatuan ummah khasnya Melayu Islam daripada kalangan PAS-UMNO dan juga sebagai pembela kepada kedudukan Islam yang sedang tergugat bagi menyelamatkan negara daripada tindak tanduk pemimpin PH yang meruntuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
10. Semua ini adalah hikmah daripada Allah SWT yang Maha Bijaksana menjadikan asas iman dan Islam sebagai sebab penyatuan yang sememangnya diperintahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam.
11.Penyatuan ummah yang sedang diterokai Pas-UMNO bukan sekadar untuk berkuasa semata-mata tetapi ia adalah tanggungjawab keimanan yang mesti dilaksanakan dan sekiranya tidak ditunaikan, Allah menjanjikan kehinaan dan bala bencana yang menimpa yang merugikan umat Islam itu sendiri.
Renungilah mafhum dalam surah Al-Anfal, ayat 72-73:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain.
Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikit pun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah.
Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.
Dan orang-orang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.”
12. Ayat ini sememangnya benar dengan apa yang berlaku dalam negara ini selepas PRU-14. Apabila umat Islam tidak berusaha menyelesaikan permasalahan sesama mereka sehingga sering bermusuhan dengan tidak berkesudahan, mereka berpecah dan menyerang antara satu sama lain sekali pun dalam perkara dasar dan prinsip yang wajib dipertahankan dan perjuangkan oleh umat Islam.
13. Kita melihat bagaimana kuasa politik tercabut daripada tangan umat Islam dan ditentukan oleh mereka yang kafir yang memusuhi Islam dan antiIslam, kelihatan umat Islam tiada upaya dan lemah sekali pun untuk mempertahankan hak mereka sendiri.
14. Perlembagaan negara Malaysia yang dibina berasaskan kepada prinsip menghormati kedudukan Islam dan juga umat Islam kelihatan tidak lagi dipedulikan dan mula diperkecilkan oleh pimpinan Kerajaan PH yang dikuasai sebahagian mereka yang tidak beragama Islam dan juga orang Islam yang jiwanya tiada roh Islam.
15. Penyatuan ummah Pas-UMNO kini mendapat sambutan baik daripada rakyat bawahan yang melihat bahawa sudah tiba masanya dua entiti parti yang mewakili umat Islam terbesar dalam negara ini patut dan wajib menggembleng tenaga dan upaya membina satu bentuk suara dan kekuatan dengan keinsafan bahawa negara sepatutnya diurus tadbir oleh dua parti ini. Umat Islam dan rakyat meletakkan harapan menggunung tinggi terhadapnya sebagai inisiatif yang lebih baik daripada PH yang sudah hilang lenyap harapannya.
16. Penyatuan ummah ini sedang dicemburui dan digeruni oleh PH yang sedang menghirup udara zon selesa kononnya kuasa pemerintahan kini di tangan mereka dan mereka boleh serta mampu melakukan apa sahaja. PH sedang mengkhianati manifesto mereka sendiri dan janji manis yang mereka jajakan kepada rakyat kini sanggup dimungkiri dengan penuh sombong dan bongkak tanpa apa-apa penyesalan.
17. Penyatuan ummah Pas-UMNO telah menggoncangkan kedudukan Kerajaan PH. Tambahan lagi rakyat sudah muak dan bosan malah ada yang marah serta tidak sabar untuk menghukum parti-parti PH dalam PRU-15 yang asyik menjaja slogan Malaysia Baharu tetapi rupanya tidur sebantal mimpi masing-masing.
18. Parti-parti PH yang berpaksikan nasionalisme, liberalisme, sosialisme, pragmatisme membawa haluan agenda sendiri tanpa mempedulikan nasib rakyat dan juga ada yang beragenda secara halus dalam kalangan mereka untuk meruntuhkan dan melenyapkan kedudukan Islam, institusi Islam, hak Melayu Bumiputera dan juga Raja-Raja Melayu.
19. Kini, mereka telah membuka mata bahawa penyatuan ummah Pas-UMNO bukan boleh diperkecilkan dan diperbudakkan. Walaupun mereka pernah menempelak penyatuan ummah sebagai agenda Talibanisme, akhirnya mereka sendiri mempelawa Pas untuk menyertai mereka pula.
20. Ini memperlihatkan bahawa mereka mengakui kekuatan yang ada pada Pas dan penyatuan ummah ini mampu menjadikan mereka sebagai Kerajaan Persekutuan yang paling pendek dalam sejarah negara.
21. Pas bertegas bahawa penyatuan ummah ini bukan semata-mata agendanya ialah kuasa, tetapi agenda lebih besar daripada itu, iaitu agenda keimanan dan prinsip menjaga dan memelihara kesucian Islam serta kedudukannya.
22. Prinsip penyatuan ummah yang dipelopori ini adalah memastikan keuntungan kepada Islam, negara dan bangsa, mengutamakan perpaduan umat Islam, penyatuan berasaskan integriti dan akhlak serta keharmonian masyarakat majmuk. Inilah yang tidak mampu ditunaikan oleh pimpinan PH.
23. PAS menolak secara terhormat pelawaan PH untuk bersama mereka dalam kerajaan kerana PH tidak mahu memahami prinsip ini yang dipertahankan PAS. -UTUSAN ONLINE











