KUALA LUMPUR – Sembilan atlet gimnastik negara bakal menyarungkan pakaian rasmi dan mempamerkan kit sukan baharu yang direka oleh pereka fesyen terkenal Malaysia, Melinda Looi pada Kejohanan Gimnastik Berirama Remaja Dunia 2019 yang diadakan dari 19 hingga 21 Julai di Moscow, Rusia.
Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dalam kenyataan berkata kerjasama dengan Melinda merupakan sebahagian usaha MGF untuk mengukuhkan identiti korporatnya, bagi menyatakan penghargaan terhadap gimnastik dalam landskap sukan Malaysia.
Beberapa entiti korporat yang telah menjanjikan sokongan mereka sebagai penaja visi baharu MGF termasuk Kenanga, Yayasan CIMB dan Cosway.
Rekaan semula pakaian seragam atlet gimnastik ini merupakan antara langkah pertama ke arah amalan (mengukuhkan identiti korporat) dan sebahagian daripada kedudukan imej keseluruhan MGF.
MGF juga akan mengadakan jualan produk dengan rekaan baharu ini.
Melinda merupakan pereka fesyen Malaysia yang memenangi banyak anugerah dan mereka pakaian seragam atlet kebangsaan Wira Malaysia yang pertama kali dipaparkan pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.
Koleksi itu mewakili penghormatan Melinda kepada atlet Malaysia yang diibaratkan sebagai wira zaman moden dan diilhamkan oleh harimau iaitu haiwan kebangsaan negara dan simbol keberanian dan kekuatan dalam Jata Negara. – Bernama











