KUALA LUMPUR 16 Julai – Garis panduan mengenai imbuhan kepada pengarah dan pengurusan kanan utama dalam entiti kerajaan akan diumumkan pada hujung tahun ini selepas mengambil kira pandangan dari semua pihak yang terlibat, kata Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid.
Beliau berkata, garis panduan yang komprehensif itu akan menggabungkan pelbagai amalan antarabangsa, meningkatkan tadbir urus korporat dan memastikan dasar imbuhan yang seimbang, yang mengambil kira prestasi kewangan jangka panjang entiti berkenaan.
Muhammed berkata, apabila dimuktamadkan, garis panduan itu akan diumumkan kepada orang ramai dan badan berkanun.
Pada Persidangan Invest Malaysia Mac lepas, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan menyediakan garis panduan yang jelas mengenai imbuhan yang akan dibayar kepada para pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perdana menteri menyatakan bahawa sebahagian daripada mereka telah dibayar imbuhan yang ‘sangat tinggi’.
“Adalah lebih baik untuk memberi kenaikan yang lebih tinggi kepada pegawai bergaji rendah berbanding pegawai atasan. Mereka yang berada di peringkat teratas mendapat bayaran yang tinggi sedangkan petugas bawahan tidak begitu.
“Adalah lebih baik untuk memberi kenaikan yang lebih tinggi kepada mereka yang berpendapatan lebih rendah. Lagi pun mereka ini (pendapatan rendah) akan membelanjakan wang di dalam negara, yang menyumbang kepada ekonomi tempatan,” kata Muhammed kepada pemberita di sini semalam. – BERNAMA










