SEPANG 16 Julai – Gara-gara menceroboh pintu balai pelepasan KLIA2 kerana terlewat lima minit jadual penerbangan, seorang warga Bangladesh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Md. Anoy Mahmud, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh pintu balai pelepasan KLIA2 pada pukul 9.52 malam, 9 Julai lalu.
Menurut fakta kes dibacakan di hadapan Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho, tertuduh ingin memasuki pesawat syarikat penerbangan tambang murah dari Kuala Lumpur ke Dhaka yang dijadual berlepas pada pukul 9.55 malam.
Walau bagaimanapun, tertuduh hanya tiba di pintu pelepasan pada pukul 9.50 malam telah menyebabkan dia tidak dibenarkan menaiki pesawat.
Malah dia cuba memanjat satu tong sampah untuk menceroboh masuk pintu pelepasan, namun usahanya gagal.
Lelaki berkenaan selepas itu memaklumkan kepada seorang petugas penerbangan bahawa dia cuba memasuki pintu pelepasan.
Petugas syarikat penerbangan terlibat kemudiannya membuat laporan polis dan tertuduh sejurus itu ditahan kerana didakwa menceroboh.
Difahamkan tertuduh yang berkerja sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat (IT) di Shanghai, China telah transit di KLIA2 sebelum ke Dhaka kerana ingin menziarahi ibu yang sedang sakit.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah juga memerintahkah tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Lelaki itu diwakili peguam Zaflee Pakwanteh manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan. -UTUSAN ONLINE










