Pandelela-Mun Yee raih perak - Utusan Malaysia

Pandelela-Mun Yee raih perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASANGAN terjun negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee berjaya meraih slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun selepas memenangi pingat perak menerusi acara 10 meter platform seirama pada Kejohanan Akuatik Dunia 2019 di Gwangju, Korea Selatan kelmarin.

Pandelela-Mun Yee mengumpul 312.72 mata untuk menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang gandingan China, Lu Wei-Zhang Jiaqi yang meraih emas selepas mengutip 345.24 mata.

Sementara itu, pingat gangsa diraih pasangan Amerika Syarikat, Samantha Bromberg-Katrina Young dengan mengutip 304.86 mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mun Yee, 34, mengakui kejayaan meraih tempat kedua menjadi detik terindah buat dirinya dan Pandelela apabila turut menempah tiket ke Sukan ­Olimpik tahun depan.

“Kita sangat gembira kerana berjaya mendapat pingat perak dan seterusnya layak ke Sukan Olimpik di Tokyo.

“Sebelum ini, kami tetap percaya saingan kali ini akan sengit ketika melakukan persiapan ke­rana tiga penerjun terbaik akan layak ke Sukan Olimpik.

“Kali ini kami berjaya melakukannya dengan baik dan sangat berpuas hati dan pastinya kami akan terus berusaha untuk kejohanan penting tahun depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kejayaan tersebut bakal melengkapkan pentas keempat ­Olimpik untuk Pandelela dan kali kelima buat Mun Yee.

Selain itu, ia merupakan gan­dingan kali ketiga Pandelela-Mun Yee berjaya menjelmakan kilauan pingat buat skuad terjun negara pada kejohanan dunia selepas meraih gangsa pada edisi 2009 di Rom dan Barcelona (2013).

“Pada 10 tahun lalu kami berjaya memenangi gangsa dan kali ini kami berjaya memenangi perak. ­Syukur di atas kejayaan dan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan.

“Akhir sekali, terima kasih kepada pasangan saya yang memberikan aksi terbaik dan percaya dengan perhubungan ini,” kata Pandelela menerusi laman Instagram miliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini