JEMPOL 15 Julai – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas selepas tergelincir semasa menjala ikan di Sungai Muar, Rompin, Bahau dekat sini petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Muhamad Rasul Hashim berkata, mayat K. Sathis Kumar ditemukan tersangkut di sebatang kayu di dalam sungai tersebut oleh pasukan bomba.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian lemas itu pada pukul 5.05 minit dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.
“Sembilan anggota bomba digerakkan mencari mangsa. Operasi ditamatkan pada pukul 6.02 petang selepas mayat mangsa dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Rasul berkata, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam sungai semasa menjala ikan bersama bapa dan abangnya dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE











