VANCOUVER, Kanada – Walaupun beg plastik mencemarkan Bumi, masih ramai pelanggan yang memintanya ketika berada di kedai atau pasar raya atas pelbagai alasan termasuk hendak cepat atau terlupa membawa beg kitar semula.
Bagaimanapun, jika anda berada di pasar East West Market di bandar raya ini, anda mungkin berfikir dua kali sebelum berbuat demikian.
Laman berita Good News Network melaporkan, pasar raya Kanada itu memperkenalkan strategi melucukan tetapi berkesan untuk menggalakkan pelanggan supaya tidak menggunakan beg plastik sekali guna.
Pengurusan pasar raya itu mencetak sebanyak 1,000 beg plastik tersebut dengan slogan yang memalukan.
Antaranya termasuk beg plastik tertera logo pornografi dan ubat ketuat.
Menurut pemilik pasar raya tersebut, David Lee Kwen, dia mengambil pendekatan berbeza kerana ramai orang tidak suka menerima arahan atau diberitahu perkara yang mereka tidak boleh lakukan.
“Kami mahu memberi mereka sesuatu yang lucu dan membuatkan mereka berfikir pada masa yang sama,” kata Kwen kepada akhbar The Guardian.
Bagi sebahagian besar pelanggan Kwen, mereka bersetuju bahawa beg plastik itu mencapai matlamatnya.
“Saya rela membawa semua barangan runcit menggunakan tangan jika perlu, saya tidak mungkin menggunakan beg plastik ini,” kata seorang pelanggan pasar raya tersebut. – Agensi











