DUBAI 15 Julai – Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70 hari ini.
Memetik laporan Khaleej Times, Sheikh Mohammed memiliki semangat dan visi berupaya membangunkan Dubai, yang dahulu hanyalah kawasan padang pasir kepada sebuah bandar global yang didiami pelbagai warganegara.
Kepemimpinannya telah menggerakkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai negara yang ke depan di pentas global dalam menyebarkan toleransi, inovasi dan kebaikan memberi.

Sheikh Mohammed dilahirkan pada 15 Julai 1949 di kediaman Al Maktoum di Al Shindagha dan merupakan anak lelaki ketiga daripada empat anak lelaki Sheikh Rashid Saeed Al Maktoum.
Sheikh Mohammed menerima pendidikan bahasa Arab dan Islam secara formal bermula 1955 di Sekolah Al Ahmadiya dan dilatih memburu, menjinakkan burung helang serta menunggang kuda ketika zaman kanak-kanak.
Pada Ogos 1966, Sheikh Mohammed berhijrah ke Britain untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Bahasa Bell, Cambridge.
Selain itu, pemerintah Dubai itu juga mengikuti latihan di Sekolah Kadet Pegawai Mons (kini dikenali sebagai Akademi Tentera Sandhurst) sebelum pulang ke Dubai sekitar 1968 dan dilantik menjadi Ketua Polis dan Keselamatan Awam Dubai pada tahun yang sama.
Sheikh Mohammed kemudian dipilih sebagai Menteri Pertahanan dan menjadi individu paling muda yang memegang jawatan tersebut.
Majalah Time meletakkan Sheikh Mohammed di tangga kelima dalam senarai 10 kerabat diraja terkaya dunia dengan nilai kekayaan sehingga AS$4 bilion (RM16.4 bilion).
Sheikh Mohammed aktif dalam kerja-kerja amal dan telah memberikan banyak sumbangan untuk menubuhkan Yayasan Mohammed bin Rashid Al Maktoum pada 2007.
Dalam pada itu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah juga menyambut ulang tahun keputeraannya yang ke-73, pada hari ini.
Lapor Newsweek, baginda yang menaiki takhta pada 1967 merupakan pemerintah kedua di dunia yang paling lama memerintah, selepas pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.

Baginda juga merupakan antara pemerintah paling kaya di dunia dengan nilai kekayaan mencecah AS$20 bilion (RM81.18 bilion), menurut Forbes.
Sultan Brunei memiliki kira-kira 500 koleksi kereta Rolls-Royce dan sejumlah besar kereta-kereta mewah lain termasuk Ferrari, Bentley, Lamborghini yang kesemuanya dianggarkan bernilai sehingga AS$4 bilion.
Selain ratusan kereta mewah, baginda juga pemilik dan pengendali Agensi Pelaburan Brunei yang memiliki sembilan hotel mewah seluruh dunia.











