Hinaan Trump ‘makan diri’ - Utusan Malaysia

Hinaan Trump ‘makan diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 15 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membangkitkan kemarahan pelbagai pihak apabila bertindak melakukan serangan rasis terhadap empat anggota Kongres wanita berasaskan warna kulit mereka.

AP melaporkan, Trump dengan kenyataan ‘kurang ajarnya’ di Twitter mahu keempat-empat mereka pulang ke negara asal masing-masing, negara yang dilabelnya sebagai rosak dan banyak berlaku jenayah.

Bagaimanapun kenyataan itu bagaikan ‘memakan diri’ kerana secara faktanya, keempat-empat anggota Kong­res wanita tersebut adalah warga AS dan tiga daripadanya lahir di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Serangan Trump menerima kritikan hebat daripada Parti Demokrat yang melabelkan kenyataan Presiden AS itu bersifat perkauman dan mampu memecah-belah masyarakat.

Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi berkata, Trump mahu menjadikan AS dikuasai oleh ‘ketuanan kulit putih’ sekali lagi.

Anggota Kongres termuda, Alexandria Ocasio-Cortez pula memberitahu, Trump tidak dapat menerima sebuah negara AS yang turut merangkumi golo­ngan berlainan warna kulit se­pertinya.

Trump yang mempunyai sejarah membuat kenyataan bersifat perkauman, sudah pasti merujuk kepada Ocasio-Cortez dan sekutunya iaitu Ilhan Omar dari Minnesota; Rashida Tlaib (Michigan) dan Ayanna Pressley (Massachusetts).

Dalam pada itu, Ocasio-Cortez menerusi laman Twitter mengecam kenyataan Trump dengan menegaskan dirinya ber­asal dari AS.

“Trump, negara asal saya dan negara yang kami mengangkat ikrar adalah AS,” tegasnya.

Ilhan juga menyelar tindakan Presiden itu menerusi Twitter dengan memberitahu Trump mencetuskan ‘nasionalisme kulit putih’ kerana marah warga kulit hitam sepertinya berkhid­mat untuk Kongres dan berjuang melawan agenda penuh kebencian.

Semalam, Trump menerusi satu hantaran di Twitter memberitahu, amat menarik untuk melihat anggota Kongres wani­ta Demokrat yang progresif, ber­asal dari negara yang mana kerajaannya dianggap malapetaka, paling teruk, dilingkari rasuah dan tidak cekap dari mana-mana sahaja di dunia.

Katanya, kini mereka secara jahat memberitahu rakyat di AS, negara paling hebat dan berkuasa di dunia, bagaimana kerajaan pimpinannya harus dikendalikan.

Semua bermula ketika Trump ‘mencelah’ perselisihan antara Pelosi dan Ocasio-Cortez ketika Pelosi cuba meminimumkan pengaruh anggota Kongres itu dalam Kaukus Demokrat.

Ocasio-Cortez mendakwa Pelosi cuba meminggirkan pe­mimpin wanita berasaskan warna kulit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini