Bagi sesiapa yang tidak mengenali siapakah Sabri Suby, jangan risau. Beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif King Kong, sebuah agensi pemasaran digital terkenal di Australia. Sebenarnya saya baharu sahaja terserempak dengan satu artikel yang terdapat di portal Foundr, yang ditulis oleh David M. Hobson.
David bukan sahaja mengikuti rapat kisah Sabri, tetapi sempat membuat beberapa kajian, membaca dan memerhati serta membuat pencarian di Google tentang kejayaan Sabri.
Menurut David lagi, beliau amat terpegun bagaimana kerja keras Sabri dan pertumbuhan perniagaan King Kong miliknya membuahkan hasil yang begitu besar walaupun masa diambil tidak begitu panjang.
Sabri, sama seperti usahawan-usahawan lain, bermula tanpa apa-apa yang istimewa. Tidak ada modal permulaan yang banyak, keluarga kaya-raya atau bantuan daripada para pelabur.
Yang ada hanyalah sebuah komputer riba, sebuah telefon pintar dan akses kepada internet. Tetapi, dalam masa empat tahun sahaja Sabri telah membina perniagaan bernilai AUD$10 juta (RM28.9 juta) yang mana ia dinobatkan sebagai satu daripada agensi pemasaran digital paling pesat membangun bagi seluruh Australia.
Apa yang menariknya ialah, Sabri masih mampu membantu para pelanggannya yang berada dalam 120 bidang berlainan menjana jualan melebihi AUD$400 juta (RM1.16 bilion) secara keseluruhannya. Bagaimana dia lakukannya?
Tawaran Godfather
Sabri mempunyai kebolehan tersendiri untuk memahami konsep perniagaan setiap pelanggannya dan kemudian mewujudkan satu tawaran yang begitu istimewa dan tidak dapat ditolak oleh bakal pembeli. Ini antara kehebatan Sabri.
Bayangkan setiap pelanggan, apabila melihat atau mendengar sahaja tawaran yang dikemukakan Sabri, mereka terus teruja dan sedar tak sedar sahaja terus bersetuju malah ada yang terus membuat pembayaran tanpa perlu menunggu hujung bulan, gaji atau berbincang dengan pasangan masing-masing di rumah.
Ia sangat berkesan tetapi dalam masa sama juga berbahaya kepada pemilik perniagaan itu. Ini kerana sebagai pemilik perniagaan dan produk yang dijual, anda perlu memberi komitmen sepenuhnya berdasarkan janji yang akan diberikan kepada orang ramai.
Kita sedang berada dalam era yang serba-serbi dalam talian jadi setiap kali kita tidak dapat menunaikan janji ke atas tawaran yang diberikan, berita ini pasti akan tular. Apabila ini berlaku, jenama anda sudah semestinya akan terjejas teruk.
Contoh tawaran Godfather
Tawaran tempoh percubaan percuma selama 120 malam oleh Tilam Koala. Bagi sesiapa yang berada di Australia pada waktu tawaran ini sedang berlangsung, pasti akan mempertimbangkannya untuk rumah mereka tanpa berfikir panjang. Mengapa?
- Ia percuma, selama empat bulan.
- Penghantaran ke rumah dan untuk mengembalikannya sekiranya tidak berminat, juga percuma.
- Ia melenyapkan persoalan anda, “Bagaimana kalau tilam itu tidak selembut yang disangka, tidak menepati selera saya” atau bermacam-macam lagi permintaan bukan-bukan.
- Anda tidak perlu memegang, melihat dengan mata sendiri atau memandu ke kedai tersebut untuk membeli.
Apakah tawaran Godfather anda?
Ya, mungkin tawaran seperti Tilam Koala tadi boleh dilakukan kerana pemilik jenama tersebut mempunyai modal besar dan mampu menerima risiko sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku.
Namun, ini hanyalah contoh yang saya mahu anda berfikir secara kreatif tentang apa yang anda boleh sediakan bersesuaian dengan situasi produk dan jenama anda sendiri.
Gunakan senario tadi dan fikirkan sejenak. Tentu ada sesuatu yang boleh anda lakukan mengikut perspektif produk anda.
Tawaran anda perlu ada kriteria ini
Menurut Sabri, tawaran anda hanya akan kelihatan jitu sekiranya:
- Mesej yang cuba disampaikan mudah difahami dan jelas oleh sasaran pasaran.
- Mereka gembira dengan nilai tawaran diberikan.
- Mereka tidak akan berjumpa dengan tawaran sama di tempat lain.
- Ia berbunyi memujuk.
- Ditambah dengan beberapa bonus yang mereka tidak dapat katakan “Tidak”.
- Mempunyai ayat seolah-olah bercerita yang mereka dapat bayangkannya.
- Mempunyai harga yang terpampang jelas dan terang. Jelaskan juga mengapa harganya begitu dan mengapa mereka perlu membeli.
- Mempunyai tarikh tamat dan buatkan pembaca merasa rugi jika mereka masih berlengah.
- Menyediakan jaminan hebat.
- Mempunyai amaran risiko yang akan berlaku sekiranya mereka tidak membelinya.











