KAMI sebagai Majlis Suara Melayu Johor (Suara) menyambut baik cadangan pencantuman tanah-tanah peneroka Felda sebagai suatu anjakan. Tidak lama dahulu, Felda adalah sebuah agensi kerajaan disegani bukan sahaja di rantau Asia malah dikagumi di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan strateginya yang efektif dalam menaik taraf sosio ekonomi masyarakat luar bandar.
Malahan Felda mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarahnya pada 2012 sebanyak RM5.8 bilion sejurus selepas penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) FGV Holdings Berhad (FGV) di Bursa Malaysia.
Prestasi kewangan kumpulan tersebut dalam tahun-tahun sebelumnya juga sangat memberangsangkan dengan purata keuntungan RM720 juta setahun dalam tempoh 2007 hingga 2011. Sebelum 2012, pelbagai aktiviti huluan dan hiliran di ladang-ladang komersial dan peneroka dikendalikan Felda Holdings Berhad (FHB) yang dimiliki Felda dan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF).
Berita berkaitan:
KPF yang memegang ekuiti sebanyak 51 peratus dalam FHB majoritinya dianggotai peneroka Felda iaitu sebanyak 88 peratus atau 233,635 ahli. Melalui KPF peneroka boleh memperoleh dividen daripada FHB untuk menambah pendapatan di samping hasil tanaman di ladang-ladang mereka.
Akan tetapi semuanya hancur punah, musnah apabila Felda melaksanakan penstrukturan semula pada 2012. Selepas melaksanakan penstrukturan, Felda cuma mengendalikan pengurusan ladang peneroka dan industri kecil manakala aktiviti hiliran dan pengurusan ladang komersial Felda diserahkan kepada FGV melalui perjanjian sewatanah (LLA).
Selain itu Felda juga menubuhkan sebuah syarikat, Felda Investment Corporation (FIC) yang bertanggungjawab untuk pelaburan luar sektor perladangan di dalam dan luar negara.
Model perniagaan yang distruktur semula ini ternyata tidak menguntungkan Felda apabila kumpulan tersebut mencatatkan kerugian RM2 bilion hanya setahun selepas penstrukturan dibuat. Seterusnya Kumpulan Felda terus mencatatkan kerugian pada tahun-tahun berikutnya sehingga kini, sehingga kumpulan tersebut mencatatkan kerugian terburuk pada 2017 iaitu RM4.9 bilion.
Ternyata model perniagaan pasca 2012 ini meranapkan Felda terutama apabila kumpulan tersebut melakukan pelbagai pelaburan secara agresif. Model perniagaan ini memberi peluang kepada Felda untuk melabur dalam aset bukan perladangan seperti hartanah dan perhotelan. Pelaburan-pelaburan ini langsung tidak memberi pulangan yang berbaloi dan tidak menguntungkan.
Turut memburukkan keadaan adalah tindakan sesetengah peneraju Felda yang dilantik membeli hartanah-hartanah tanpa melaksanakan kajian dan mendapat kelulusan Lembaga Pengarah. Suara ingin agar semua warga Felda tahu betapa pembelotan dalam skandal Felda dan di manakah perginya keuntungan kalau tidak ke kocek beberapa ahli politik dan anggota pengurusannya.
Pada hemat kami, bukankah lebih elok jika Felda mengembalikan model perniagaan yang diamalkan sebelum 2012? Ternyata model tersebut adalah sangat menguntungkan, jika kita lihat pada prestasi kewangan sebelum tahun itu.
Sebagai contoh, walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO) pada 2009 adalah sangat rendah iaitu sekitar RM2,200 per tan metrik, Felda mampu mencatatkan keuntungan RM200 juta. Akan tetapi Felda gagal mencatatkan keuntungan pada 2017 walaupun CPO lebih tinggi pada tahun itu iaitu RM2,700 per tan metrik. Malahan rugi paling teruk pula pada tahun itu! Apa sudah jadi?
Memang benar, keadaan ekonomi sejagat sekarang bukanlah sama dengan tahun 2009 ditambah dengan ancaman negara-negara Eropah untuk memberhentikan import minyak sawit dari rantauan Asia Tenggara.
Namun jika model perniagaan lama itu digabungkan dengan teknologi smartfarming terkini yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta menukar barisan Lembaga Pengarah kepada yang lebih progresif dan berintegriti, tidak mustahil untuk Felda mengatasi cabaran ekonomi masa kini.
Selain itu kami juga ingin bertanya dan mengetahui, tanah-tanah Felda yang belum diterokai diserah kepada Felda Plantation untuk diuruskan sebagai sebuah estet besar yang tidak lagi dibuka untuk peneroka-peneroka Melayu tidak bertanah di kawasan pedalaman. Apa sudah jadi dengan rancangan pembukaan Felda Plantation sebagai sebuah estet besar?
Juga perlu diingat bahawa Felda ditubuhkan dengan tujuan menyediakan prasarana pendidikan terbaik untuk orang-orang Melayu! Felda mana yang tidak ada sekolah? Dari sekolah Tadika Kemas, sekolah agama rakyat sampailah sekolah menengah dibina di kawasan Felda. Ini dinikmati tempiasnya kepada anak-anak di kampung-kampung tradisi yang berhampiran.
Soalnya di manakah ‘suara’ anak-anak Felda yang bijak pandai berlatarbelakangkan kelulusan dalam pelbagai jurusan terutama untuk membantu peneroka dalam mengenengahkan idea bagi memulihkan semula masyarakat Felda? Felda diketahui umum sedang melalui detik yang cukup pahit apabila prestasi cemerlang yang dilakar sekian lama dicalar oleh tindak-tanduk pentadbiran terdahulu.
Bukan sahaja aliran tunai Felda kritikal dan tadbir urusnya juga tidak terkawal, malah impak langsung ‘kekacauan’ itu turut menjejaskan keseluruhan warga peneroka. Ambil kira keadaan itu. Hari Peneroka Felda Kebangsaan harus dijadikan titik tolak untuk mengubah minda serta persepsi masing-masing khususnya dalam kalangan warga peneroka.
Dalam keadaan hari ini peneroka perlu ada inisiatif untuk berusaha mencari jalan keluar daripada cengkaman kemiskinan. Perlu diingat bahawa masa depan serta jatuh bangun peneroka sebenarnya terletak di tangan mereka sendiri. Kita tidak mahu ada lagi dalam kalangan peneroka Felda yang hidupnya sehari-hari merungut akibat dibelenggu kemiskinan, sedangkan diri sendiri ‘berpeluk tubuh’ tanpa apa-apa dan hanya menunggu bantuan tiba. Hal keadaan seperti ini perlu diubah.
Tiada siapa boleh menafikan peranan Felda. Selama ini pelbagai inisiatif yang dirangka dalam usaha untuk membantu peneroka. Namun generasi peneroka hari ini perlu sedar bahawa ‘bisnes’ hakiki mereka perlu juga disokong aktiviti hiliran bersesuaian. Bukan sekadar menambah pendapatan tetapi lebih utama agar sasaran melahirkan peneroka berbudaya saing, inovatif dan progresif dapat dicapai.
Juga perlu diingat, tanah rancangan Felda kini sudah tepu dan sukar untuk peneroka mencipta kejayaan seperti yang pernah dikecapi sebelum ini. Peneroka Felda sudah ada tiga generasi yang perlu keluar dari tempoh tepu untuk masuk ke tahap kedua, di mana tanah rancangan dibangunkan menjadi bandar-bandar baharu dan pusat penempatan besar, pastinya dapat dimanfaatkan lebih sejuta warga peneroka.
Penduduk di tanah rancangan Felda mempunyai kuasa beli yang besar sekaligus kawasan itu boleh jadi pusat pertumbuhan baharu. Jika dirancang dengan baik, tanah rancangan Felda bakal jadi pemacu pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Maka kami rasa untuk mencantumkan tanah peneroka Felda di seluruh negara menjadi ladang besar memerlukan perancangan yang teratur dan kemas, asal jangan sampai kerana paus seekor, satu lautan kita keringkan. Ini supaya peneroka-peneroka tidak terasa dizalimi, sebaliknya memberi ‘sinar’ harapan apabila tanah mereka diserahkan kepada kerajaan untuk melaksanakan projek cantuman yang akan diurus pakar professional.
Kerajaan perlu berbincang dengan semua peneroka untuk mendapatkan persetujuan di samping perlu memberi keutamaan terhadap hak peneroka seperti hak pemilikan tanah dan pendapatan peneroka yang berkisar daripada segi pendapatan tetap para peneroka, adakah syarikat itu sanggup membayar setiap bulan di antara minimum RM3,000 hingga RM5,000?
Kerajaan juga perlu melihat secara terperinci mengenai hutang dan kebanyakan tanah peneroka mempunyai hak milik yang telah dicagarkan kepada bank. Perkara ini sangat besar untuk diuruskan kerajaan. Bagaimana pun bukan suatu yang sukar sekiranya Kerajaan tidak berkira daripada segi jumlah kewangan yang perlu dibayar kepada peneroka termasuk pendapatan bulanan mereka.
Kami ingin menimbulkan persoalan, sebaik peneroka menyerahkan tanah kepada kerajaan yang akan diuruskan syarikat dilantik, adakah kesemua peneroka diambil bekerja dan menjadi ‘kuli’ kepada tanah mereka sendiri? Kami ingin menyarankan sebelum melakukan pencantuman tanah Felda, sistem pengurusan ladang perlu dinilai dan distruktur semula. Pengurusan yang baik, berintegriti dan berwibawa akan membantu para peneroka memaksimumkan pendapatan mereka. -UTUSAN ONLINE











