KAJANG – Seorang lelaki warganegara Bangladesh ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai keracunan arak mengandungi bahan kimia beracun jenis metanol di Kampung Baru Balakong di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, polis menerima laporan pada pukul 10.45 pagi memaklumkan bahawa mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu disyaki telah meminum arak yang mengandungi metanol sehingga menyebabkan dirinya tidak sedarkan diri.
“Mangsa disahkan berada dalam keadaan kritikal dan buat masa kini masih dirawat di Hospital Serdang.
“Kes sebegini dilihat amat serius kerana ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Dzaffir menambah, sehingga masa kini, terdapat tiga kematian melibatkan keracunan arak direkodkan di daerah ini berbanding tujuh kematian pada tahun lalu.
“Kesemua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.
“Orang ramai diseru untuk tidak mengambil minuman arak tiruan atau murah yang dikhuatiri berisiko dan terdedah kepada keracunan metanol sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pembekal atau arak beracun diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – K! ONLINE











