KUALA LUMPUR 15 Julai – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjelaskan keputusan untuk melupuskan pegangan sebanyak 40 peratus dalam Malaysian Shoaiba Consortium Sdn. Bhd. (MSCSB) dibuat setelah objektif komersial yang ditetapkan dalam pelaburan berkenaan tercapai.
Khazanah dalam kenyataannya berkata, pelaburan bersama Malakoff Corp. Berhad (Malakoff) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2005 itu merupakan usaha menyokong kemasukan Malaysia ke pasaran pengeluar bebas air dan tenaga di Arab Saudi.
Katanya, Khazanah telah berjaya mencapai objektif komersial dalam konsortium berkenaan setelah projek tersebut siap dan memulakan operasi.
“Selari dengan perjanjian pemegang saham MSCSB, Khazanah telah menawarkan 40 peratus pegangan kepada rakan kongsi sedia ada.
“Malakoff kemudiannya menerima tawaran tersebut sekali gus membolehkan Khazanah melupuskan pegangannya dan memperoleh keuntungan yang baik pada nilai yang berdasarkan aliran tunai masa depan projek berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Minggu lalu, Malakoff Malakoff mengambil alih 40 peratus kepentingan Khazanah dalam (MSCSB) melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Malakoff Gulf Ltd. dengan nilai AS$70 juta (RM287.74 juta). – UTUSAN ONLINE











