KUALA LUMPUR 15 Julai – Padah mencabul kanak-kanak di kedai runcit, seorang lelaki warga asing ditahan di sekitar Country Homes, Rawang kira-kira pukul 1.15 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek merupakan warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh binaan di sekitar kawasan tersebut.
“Suspek berusia 45 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen diri.
“Dalam tangkapan itu, kita turut merampas pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, perintah reman terhadap suspek akan dibuat esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.
Sebelum ini, media melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di sebuah kedai di pusat bandar Country Homes, Rawang, lima hari lalu.
Kejadian itu turut tular menerusi video kamera rakaman litar tertutup (CCTV) berdurasi 51 saat yang menunjukkan seorang lelaki perpakaian serba hitam mendekati seorang kanak-kanak yang memakai baju merah jambu sebelum melakukan perbuatan tersebut. – UTUSAN ONLINE











