Parlimen: Dewan Rakyat lulus dua RUU - Utusan Malaysia

Parlimen: Dewan Rakyat lulus dua RUU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019  yang bertujuan menubuhkan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie untuk mengawal selia amalan profesion guaman syarie di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof, ketika menggulung perbahasan, menegaskan penggubalan undang-undang itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama bagi Wilayah Persekutuan.

“Setelah mendapat persetujuan di pihak Yang di-Pertuan Agong, kemudian kita bawa ke Kabinet dan dipersetujui, barulah kita bawa ke Parlimen pada sesi kali ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan kata lain, saya memberi jaminan kepada ahli-ahli Parlimen sekalian, dalam hal pentadbiran Islam, kami amat-amat prihatin dalam soal kuasa Raja-Raja Melayu dan khususnya Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai sama ada penggubalan rang undang-undang itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) (No.2) 2019.

RUU itu bertujuan meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, susulan penggubalan RUU Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini