KUALA LUMPUR 15 Julai – Pelbagai usaha dan muslihat daripada Pakatan Harapan (PH) untuk mematikan UMNO termasuk menerusi tindakan mahkamah terhadap pemimpinnya tidak akan mampu melemahkan semangat seluruh ahli parti itu kerana UMNO adalah parti perjuangan.
Ketua Pembangkang yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau terpanggil mengingatkan perkara itu yang turut dibangkitkannya dalam mesyuarat perwakilan UMNO Lembah Pantai semalam memandangkan isu itu dilihatnya semakin serius dan `bergelora’.
“Pelbagai cara tekanan dilakukan untuk `membunuh’ UMNO. Antaranya bekukan wang UMNO di dalam bank-bank di peringkat Pusat, negeri dan bahagian atas alasan wang 1MDB walaupun ketika itu kes 1MDB belum dimulakan.
“Tujuannya supaya bahagian-bahagian dan cawangan UMNO tidak lagi mampu berfungsi kerana ketiadaan wang. Juga, cubaan tangkap dan tuduh pemimpin tertinggi parti bagi mengelirukan ahli.
“Mereka (PH) juga cuba haramkan UMNO, ambil tindakan mahkamah dan hebohkan UMNO akan diharamkan. Motifnya untuk kelirukan dan lemahkan semangat ahli parti.
“Namun UMNO mempunyai asas dan objektif perjuangan yang jelas iaitu utk menegakkan agama Islam dan memertabatkan bangsa Melayu dan bumiputera. Sebab itu ahli UMNO tidak tergugat dan lemah semangat dengan segala tekanan daripada PH,” kata beliau kepada Utusan Online hari ini.
Justeru, Ismail Sabri mengingatkan ahli parti bahawa mereka mesti yakin dengan kemampuan kepemimpinan UMNO untuk menumbangkan PH.
Tegas beliau: “Ketika ini rakyat sedar segala penipuan dan fitnah kerajaan PH.
“Kerjasama UMNO-Pas memperkukuh dan menguatkan kedua-dua parti Melayu terbesar ini untuk merampas Putrajaya dan negeri-negeri lain.
“Selain dari peluang luas kepada Barisan Nasional bersama Pas untuk menang kerana isu kerajaan PH dan kerjasama UMNO-Pas, seluruh ahli UMNO mesti terus bekerja keras untuk merampas Putrajaya.” -UTUSAN ONLINE











