KUALA KANGSAR – Seorang guru yang dipercayai dalang kepada sindiket kereta klon antara lima individu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini sejak dua minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, penahanan lelaki berusia 40 tahun itu dalam satu operasi oleh sepasukan pegawai dan anggota Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dibuat pada pukul 10.20 pagi Khamis lalu.
“Guru yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Sungai Siput itu ditangkap susulan penahanan dua individu iaitu seorang penuntut institut pengajian tinggi dan seorang guru wanita dalam dua operasi penguatkuasaan trafik pada 5 dan 10 Julai lalu.
“Dalam operasi tersebut, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream yang dipandu penuntut lelaki dan guru wanita itu dirampas bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuala Kangsar di sini sebentar tadi.
Tambah Razali, dua kereta klon jenis Nissan Teana dan Nissan Sylphy turut dirampas di rumah dalang sindiket berkenaan.
“Ekoran penahanan dalang sindiket berkenaan, dua lagi lelaki yang masing-masing bekerja sebagai guru dan penjawat awam ditahan Khamis dan Jumaat lalu.
“Dua kereta jenis Honda Jazz dan Suzuki Swift turut dirampas dalam serbuan di rumah masing-masing di Sungai Siput dan Lenggong,” katanya.
Tambahnya, semua kenderaan tersebut dipercayai dibawa masuk dari Singapura sebelum dijual dengan harga antara RM3,800 hingga RM10,000 kepada penduduk tempatan.
“Semua suspek berusia antara 21 hingga 41 tahun itu kini telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 7(1), Seksyen 108(3)(e) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











